Showing posts with label Kehidupan. Show all posts
Showing posts with label Kehidupan. Show all posts

09 August 2011

Lesen


Alhamdulillah..Terima kasih Ya Allah kerana telah memudahkan urusan dalam permohonan lesen memandu.Kalau diikutkan memang panjang perjalanan memohon lesen ni.Bermula dengan ceramah KPP selama 5 jam,ujian undang-undang komputer,pendaftaran L(iaitu 3 jam dikelas dan 3 jam dilitar) dan akhirnya ujian P kereta bersama pegawai JPJ.Semuanya memerlukan kesabarn yang tinggi.Dan sekarang, ana mampu menarik nafas lega kerana segala penat lelah berjaya membuahkan hasil.Ana sendiri mengaku memang penat berulang-alik daripada Sungai Siput ke Padang Ampang,Kuala Kangsar.Nak-nak lagi ana test kereta 10 jam dibulan puasa dengan terpaksa menunggu bas dibawah terik mentari.Memang bersyukur sangat-sangat!!!!!!!!Hilang segala rasa penat.


Dan apa yang seronoknya,ana dapat berkenalan dengan rakan-rakan baru.Antaranya Kak Hazirah dan kak Syuhada.Memang kita kat mana-manapun kena pandai bawa diri.Tegur-tegur rakan lain dan jangan menyombong diri.Walaupun dengan non-muslim,ana cuba bergaul dengan baik.Mudah-mudahan kita dapat menjadi contoh yang baik kepada mereka ^_^.Amin.

Sebenarnya ana baru pass untuk lesen kereta je.Test untuk motor 23/8 ni.Pray for me okay!!!Moga segalanya dipermudahkan Allah seperti hari ini.Tadi yang ana takut sangat time naik bukit tu.Alhamdulillah menepati garisan kuning tu dan berjaya turun dari bukit dengan baik walaupun ada juga bunyi enjin yang kurang menyenangkan.Cikgu kata tak kisah asalkan kereta turun dari bukit.Dikesempatan ini,ana ingin mengucapkan terima kasih kepada cikgu memandu,Cikgu Megat kerana telah memberikan tunjuk ajar yang baik.Walaupun cikgu agak garang,cikgu siap pesan kat ana,cikgu memang agak kasar tapi sebenarnya cikgu nak ana buat yang terbaik.Ana rasa bahagia kerana tidak sia-sia cikgu melatih ana selama 10 jam campur dengan pra-L 3 jam demi membolehkan ana memandu dengan baik dan selamat.

ana belajar dengan test pakai kereta viva...kereta kancil kat konsortium tu dah
x banyak dah..semua guna viva

Buat sepupu tersayang,Saidatul Nisa,seperti yang dijanjikan...InsyaAllah ada masa dan kelapangan boleh la kita bawa kamu jalan-jalan.Hehe.Sebagai membalas jasa kamu yang selalu bawa kita outing waktu kita kat Idrisiah dulu.Tambah-tambah waktu SPM.Memang sangat-sangat membahagiakan bila boleh keluar outing setelah bertungkus lumus dengan buku.

Buat pegawai JPJ yang menguji ana,terima kasih kerana bertindak sangat cool ketika menguji kecekapan ana memandu.Membuatkan ana terikut sama cool sambil menjawab pertanyaan beliau tentang latar belakang pendidikan ana.

Mudah-mudahan kita semua diberkati Allah S.W.T.

Salam Ramadhan Al Mubarak 
Catatan 9 Ramadhan 1432H

p/s:malam ini genap malam ke-10 kita mengerjakan ibadah tarawih.Sedar tidak sedar
sudah menuju pengakhiran fasa 1.Moga ibadah kita lebih berganda-ganda
dalam fasa 2&3.Fasa 1<rahmat>Fasa 2<keampunan>Fasa 3<dijauhkan dari api neraka>

 

29 July 2011

Pembaziran:Nikmat Yang Disia-siakan


Dalam menghadapi himpitan perbelanjaan harian yang semakin meningkat akhir-akhir ini, pelbagai pihak menyeru agar kita sebagai pengguna berjimat cermat atau berhemat ketika berbelanja. 

Agama Islam begitu menitikberatkan persoalan berhemat dalam membelanjakan harta atau wang, dan Islam menegaskan agar umatnya tidak melakukan pembaziran yang hanya akan mendatangkan kerugian. Pembaziran diambil dari kalimah Bahasa Arab iaitu yang bermaksud membazir atau boros. Manakala dari sudut istilah Syarak pula membawa maksud sesuatu yang dikeluarkan pada jalan yang bukan hak (kebenaran).

Ibnu Mas’ud menjelaskan bahawa pembaziran adalah perbuatan menafkahkan (mengeluarkan) atau menggunakan harta pada jalan maksiat yakni tidak pada jalan yang diperintahkan oleh Allah SWT dan tidak berlandaskan tuntutan sunnah Rasulullah SAW.

Manakala Ibnu Kathir pula mentakrifkan pembaziran sebagai perbuatan mensia-siakan nikmat Allah kepada perkara-perkara maksiat yang melanggar perintah Allah SWT.

Dalam membincangkan tentang konsep pembaziran, ramai di kalangan kita yang tersalah anggap hingga menyempitkan ruang lingkup pembaziran kepada wang dan harta benda sahaja. Sesungguhnya konsep pembaziran itu sangat luat skopnya dan ruang perbincangannya mencakupi perkara-perkara bersifat material (kebendaan) dan bukan material.

Perkara-perkara yang berbentuk kebendaan meliputi harta benda seperti wang ringgit, makanan, minuman, pakaian, air, tenaga (elektrik dan minyak petrol) dan sebagainya. Manakala pembaziran dari sudut bukan material pula termasuklah tenaga, masa, perbuatan manusia, kuasa, usia dan sebagainya.

Harta benda, wang, pakaian, kenderaan, kediaman, tenaga, masa dan sebagainya itu adalah nikmat pemberian Allah SWT yang wajar kita hargai dengan memanfaatkannya ke jalan yang baik.

Sekiranya perkara-perkara tersebut dipergunakan pada jalan sia-sia serta dilarang oleh Allah SWT, maka ia termasuk di dalam pembaziran. Mereka yang suka membazir dan boros ini sebenarnya tergolong di dalam kalangan orang-orang yang tidak tahu bersyukur dengan nikmat pemberian Allah SWT(kufur nikmat).

Islam amat melarang umatnya melakukan pembaziran sehingga Allah SWT menyifatkan orang-orang yang suka membazir itu sebagai saudara syaitan. Firman Allah SWT yang bermaksud, “Sesungguhnya orang-orang yang melakukan pembaziran itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya”(Surah al-Isra’: 27).

Allah SWT menggariskan panduan kepada manusia dalam soal makan dan minum supaya tidak berlaku pembaziran. Firman-Nya yang bermaksud, “…dan makanlah serta minumlah dan jangan pula kamu berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah SWT tidak suka orang-orang yang berlebih-lebihan”(Surah al-A’raf: 31).

Dalam masyarakat Islam kita, perbuatan membazir ini berlaku dalam pelbagai keadaan. Pembaziran berlaku bukan sahaja dari sudut makan minum, malah yang lebih parah lagi ialah dari sudut pembaziran masa, tenaga muda dan umur.

Jika pembaziran dari sudut makan minum itu dapat kita lihat dengan terbuangnya makanan dan minuman ke dalam tong sampah, tetapi pembaziran dari sudut masa dan umur (usia) pula seringkali tidak kita sedari kerana tidak dapat dinilai dengan mata kasar. Kegiatan melepak, berpeleseran dan berbual-bual kosong adalah antara perbuatan yang sia-sia, malah mungkin boleh mengundang dosa jika ada unsur-unsur maksiat di dalamnya.


Justeru, perlu kita fahami bahawa segala nikmat termasuk nikmat masa, usia, harta, ilmu, tubuh badan dan sebagainya akan disoal dan dipertanggungjawabkan oleh Allah ke atas kita di akhirat kelak. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud, “Tidak akan berganjak dua tapak kaki manusia pada hari kiamat sehingga dia disoal tentang empat perkara. Mengenai umurnya, ke manakah dihabiskan umurnya? Mengenai ilmunya, apakah yang sudah dilakukan dengan ilmunya? Mengenai hartanya, dari sumber manakah dia perolehi dan ke jalan manakah dia belanjakan? Dan tentang tubuh badannya, apakah yang telah dia lakukan?” (HR Tirmizi).

Orang yang mengerti nilai waktu tidak sanggup membiarkan waktunya habis dengan percuma, tetapi dipenuhi dengan amal-amal yang berguna kerana dia sedar waktu itu adalah umurnya. Berlalunya waktu tanpa sebarang pengisian yang baik bererti sia-sia umurnya itu. Pepatah Arab ada berkata, ”Waktu itu sangat berharga, maka jangan engkau habiskan kecuali untuk sesuatu yang berharga juga”.

Pembaziran masa sering berlaku jika kita tidak bijak menguruskannya. Terdapat segelintir di kalangan masyarakat kita yang suka menghabiskan masa dengan sia-sia. Bagi yang bekerja, mereka kadang-kadang mencuaikan masa dan sengaja melengahkan tugas atau kerja yang diberikan kepadanya. Tidak merancang tugasan, agihan tugas yang tidak sistematik, menyerahkan tugas kepada orang yang bukan ahlinya dan sikap pekerja sendiri yang tidak bermotivasi serta tidak mementingkan nilai masa adalah antara faktor yang menyumbang ke arah pembaziran masa.

Lebih teruk lagi apabila pembaziran masa yang dilakukan itu mengakibatkan berlakunya kelemahan pengurusan, merosotnya produktiviti, kurangnya kualiti serta perjalanan pentadbiran yang tidak sistematik dan produktif.

Rasulullah SAW sendiri menasihati umatnya agar meninggalkan apa yang tidak berfaedah bagi kehidupan dunia dan agamanya sama ada berupa perkataan yang sia-sia atau perbuatan yang tiada manfaat yang hanya menghabiskan masa dan umur dengan percuma.

Sabda baginda daripada Abu Hurairah R.A yang bermaksud, “Sebahagian daripada kebaikan keislaman seseorang ialah meninggalkan sesuatu yang tidak bermanfaat baginya” (H.R al-Tirmizi).

Justeru, perjalanan hidup Rasulullah s.a.w. dan para sahabat baginda adalah  teladan yang terbaik untuk diikuti merangkumi hal-hal pengurusan kenegaraan, perniagaan, ekonomi, peperangan, hal ehwal rumahtangga dan kekeluargaan. Kesemuanya itu baginda uruskan dengan baik tanpa adanya pembaziran.

Lantaran itu, wajiblah bagi kita umat Islam menghindarkan diri dari pembaziran sama ada yang melibatkan wang, harta, masa, tenaga, usia dan sebagainya supaya kita tidak tergolong dalam golongan mereka yang dibenci dan dimurkai Allah. Hargailah segala nikmat kurniaan Allah dengan menggunakannya secara wajar, berhemah, bersyukur, berjimat dan memanfaatkannya ke jalan yang diredhai Allah SWT.

-Majalah Cahaya Ogos 2006-


17 July 2011

Murahkan Senyumanmu



Senyuman adalah senaman yang baik untuk urat muka yang masih tegang tanpa ada kedutan.Bahkan,senyuman bagaikan terapi diri yang dapat mempengaruhi keceriaan hari-hari kita.Dengan senyuman juga menyebabkan rakan-rakan dan orang sekeliling kita selesa bergaul dengan kita.Kemarahan juga akan surut bila kita senyum.

Sabda Rasulullah s.a.w kepada Saidina Abu Zar yang membawa maksud:"Janganlah engkau meremehkan sesuatu yang makruf,walaupun kemakrufan tersebut sekadar engkau bertemu dengan saudaramu dengan wajah yang manis.

Dari Sudut kesihatan

Senyuman yang dilontarkan mampu merendahkan tekanan darah,menambah kemasukan oksigen dalam darah yang secara tidak langsung merangsang kedua-dua belah otak dan meningkatkan daya tumpuan kita untuk belajar.Malah,dapat memberi kelegaan kepada otot-otot yang tegang dan tekanan psikologi yang dialami.

Hakikat Senyuman

Senyum adalah kunci kepada permulaan perbualan yang selesa.Senyuman pertama yang diberikan mampu menjalinkan hubungan silaturrahim sesama insan.Kita sendiri tidak selesa dengan orang yang sentiasa bermasam muka begitulah juga dengan orang lain Senyuman juga dapat menimbulkan pengaruh kepada diri sendiri.Seseorang yang berada dalam keadaan riang gembira mempunyai kemampuan yang lebih besar untuk berfikir dengan lebih kreatif.Bila hati senang,fikiran ikut menjadi tenang dan sekaligus menghasilkan kelakuan yang positif bukan sahaja kepada diri sendiri malah orang sekeliling.Sebagaimana yang kita tahu,senyum juga adalah sunnah Rasulullah.Baginda sentiasa dalam keadaan senyum apabila bertatap muka dan bercakap dengan orang-orang yang ditemuinya.

Baginda s.a.w cukup murah dengan senyuman.Saidina Umar pernah berkata,"Rasulullah s.a.w tersenyum dan Baginda adalah orang yang paling bagus giginya."(Riwayat Ibnu Hibban).Manakala seorang lagi sahabat Rasulullah,Abdullah bin Harith mengatakan,"Tidak pernah aku melihat seseorang yang lebih banyak tersenyum daripada Rasulullah s.a.w."(Riwayat At-Tirmizi)

Jika kita mampu mengamalkan sunnah Rasulullah yang lainnya,mengapa tidak kita lakukan sunnah yang cukup mudah dan ringkas ini.Murahkanlah senyumanmu jika benar kita menjadikan Rasulullah s.a.w sebagai suri teladan dalam kehidupan kita yang sementara ini.

Senyumlah,kerana dengannya kita memperolehi kebahagiaan dan ketenangan selain disenangi oleh orang ramai.Namun AWAS!!!Jauhilah senyuman yang menggoda yang mampu mencairkan hati-hati manusia yang berlainan jantina  kearah melakukan maksiat.Nauzubillah himinzalik.Senyumlah sekadar menghormati sesama rakan apa adanya.

kacak luar,kacak dalam
kacak dengar sini
kalau saya senyum
awak mesti senyum sekali
kalau kita senyum
semua orang berjangkit
bila semua orang senyum
dunia tiada penyakit
senyum...
tak perlu kata apa-apa....

^_______________^

JOM AMALKAN SUNNAH....SMILE

petikan:majalah iluvislam